Kaut Untung Lebih Bayar Sikit, Gurau Shafie Kepada Guan Eng

389

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal hari ini menyatakan secara terbuka di depan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tentang kelemahan sistem agihan kekayaan negara yang sangat merugikan Sabah.

Ketua Menteri secara berterus terang berkata, agihan kekayaan yang tidak seimbang menyebabkan Kerajaan Persekutuan mengaut hasil yang banyak daripada sektor pelancongan Sabah, namun bayaran balik kepada negeri ini terlalu sedikit.

Beliau turut menyatakan secara berterus terang tentang bayaran royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada Guan Eng yang belum dilaksanakan sehingga kini.

Meskipun Shafie dilihat menyatakan perkara itu secara bergurau, hakikatnya Ketua Menteri telah menyampaikan suara rakyat Sabah yang selama ini berasa dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sudah tentu kita mempunyai banyak sumber yang belum diterokai untuk kebaikan negara, kita sudah memaksimumkan sektor pelancongan dan melakukannya dengan baik, Sabah mempunyai potensi yang besar berbanding negeri lain di Malaysia tetapi hasilnya bukan 100 peratus kita miliki, ia pergi kepada Kementerian Kewangan, ada pulang balik sikit sahaja, RM12 juta sahaja.

“Kita telah mengambil alih kerajaan dan bertanggungjawab mentadbir dengan baik kerajaan Malaysia serta negeri dengan berdepan segala perkara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu tetapi apa yang lebih penting ialah saya fikir Sabah dikurniakan dengan segala sumber, banyak minyak maka 20 peratus itu…,” katanya kepada Guan Eng.

Shafie berkata demikian ketika hadir dalam Dialog Bajet 2020 anjuran Kementerian Kewangan bersama pelabur, syarikat swasta dan agensi kerajaan di sini hari ini.

Dalam dialog tersebut, Guan Eng mengadakan sesi soal jawab bersama semua peserta yang hadir bagi mendapatkan pandangan rakyat negeri ini tentang perkara yang perlu dimasukkan kerajaan berkaitan Sabah dalam Bajet 2020.

Ketua Menteri berkata, kesetiaan rakyat negeri ini kepada Malaysia tidak boleh dipertikaikan lagi tetapi untuk menyentuh hati rakyat Sabah salah satunya adalah kewangan iaitu Kerajaan Persekutuan perlu memberi tumpuan kepada pembangunan negeri ini dalam bajet 2020.

“Saya berharap bukan sahaja kemakmuran negara perlu dikongsi bersama tetapi tanggungjawab juga perlu dikongsikan, bukan mahu cakap Sabah terlalu ketinggalan berbanding negeri lain tetapi untuk membina sebuah negara bukan mudah, perlu menyentuh hati rakyat Malaysia tidak kira di mana dan siapa sebab saya percaya kasih sayang mereka kepada negara tidak boleh dipersoalkan lagi,” kata Shafie.