Katil ICU Di Sabah Masih Cukup – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Hospital-hospital di Sabah tidak berdepan dengan isu kekurangan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pada masa ini, terdapat 115 katil di ICU di seluruh Sabah dan penggunaan katil adalah 91 katil dengan 23 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, setakat ini Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) masih boleh memenuhi keperluan bagi menerima pesakit di ICU.

Beliau berkata, secara keseluruhan kapasiti penggunaan katil di Sabah adalah 42.91 peratus. Terdapat sebanyak 6,773 katil di hospital dan PKRC di seluruh negeri ini.

Buat masa ini, hospital kerajaan masih boleh menampung bilangan pesakit Covid-19. Maka, tiada keperluan untuk menempatkan pesakit Covid-19 di hospital swasta.

“Di Sabah kita masih boleh menerima banyak pesakit. Walaupun saya harap bilangan pesakit itu akan menurun tapi kita berada dalam keadaan, kita masih boleh menerima lebih banyak pesakit,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.

Bagaimanapun, hospital swasta di negeri ini sangat memberi kerjasama kepada kerajaan.

Mengenai sampel Covid-19 yang masih tertangguh di Sabah, Masidi berkata, ketika ini masih terdapat sebanyak 3,799 sampel ujian Covid-19 yang masih menunggu giliran untuk diproses.