Kasut Berwarna Hitam Jadi Pilihan Murid Sekolah Luar Bandar Di Keningau

221
Gambar hiasan sahaja.

KENINGAU: Pemakaian kasut sekolah berwarna hitam menjadi pilihan murid di sekolah luar bandar di daerah ini yang kebanyakan mereka berjalan kaki ke sekolah dengan menempuh jalan berselut.

Ini kerana kasut berwarna hitam yang dipakai tidak terlalu menampakkan kotoran selut berbanding pemakaian kasut sekolah berwarna putih sebelum ini.

Penyelia Unit Pengurusan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keningau Jebin Tamin berkata dapatan pemantauan sejak bermula sesi persekolahan pertama bagi 2019 yang bermula semalam mendapati kebanyakan murid telah memakai kasut seragam baharu itu.

“Kita lihat murid di sekolah luar bandar lebih memilih kasut tersebut (warna hitam), ini disebabkan laluan ke sekolah di sana (luar bandar) berselut disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak beberapa minggu lepas.

“Begitu pun, pembelian kasut berwarna hitam bergantung sepenuhnya terhadap kesediaan ibu bapa…bagi mereka yang mampu berbelanja lebih telah membekal kasut hitam kepada anak-anak mereka,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini (Khamis, 3 Januari, 2019).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan penggunaan kasut hitam dalam kalangan murid dan pelajar sekolah dalam usaha membantu menceriakan pelajar terutama dalam menjalankan aktiviti luar bilik darjah.

Pelaksanaan pemakaian kasut hitam untuk murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara hanya akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 2021 dan KPM bersetuju pemakaian kasut hitam dilaksanakan secara beransur-ansur mulai sesi persekolahan 2019 sebelum diperluaskan penggunaannya pada 2020.

Jebin berkata pemakaian kasut hitam diterima baik oleh rata-rata ibubapa di seluruh sekolah di daerah ini.

Bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT), beliau berkata ia telah dilaksanakan oleh kesemua pembekal perkhidmatan pada hari pertama persekolahan.

Sementara itu, mengenai kebakaran yang memusnahkan bangunan Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Nandagan Sook semalam, Jebin berkata sebuah bilik darjah telah disediakan untuk menempatkan 18 murid prasekolah di sekolah itu dan telah diarah untuk datang ke sekolah dan belajar seperti biasa.