Kastam Rampas RM1.65 juta Rokok Seludup Di Tawau

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas 110,720 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM1.65 juta termasuk cukai dalam Op Supply Raya 2020 di beberapa lokasi sekitar daerah ini, di sini. baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah Jaapar berkata, sebanyak empat rampasan dibuat sepanjang operasi berkenaan dilancarkan pada 24 April  sehingga semalam.

“Dalam serbuan pertama, JKDM melakukan serbuan di kawasan pesisir pantai Batu 3, Jalan Apas pada 9 Mei lalu, sekitar pukul 8 malam.

“Serbuan pertama itu berjaya membawa kepada rampasan rokok disyaki tidak bercukai dianggarkan bernilai RM71,944 dengan jumlah cukai hampir RM250,000,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Menurut Abdullah, serbuan kedua dilakukan pada 15 Mei lalu, pada pukul 4.30 pagi membabitkan serbuan di sebuah rumah di Kampung Sri Aman 3, Jalan Apas.

“Dalam serbuan ini, JKDM berjaya menemui beberapa kotak berisi rokok pelbagai jenama juga disyaki tidak bercukai.

“Rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM242,900 dengan jumlah cukai yang terlibat melebihi RM800,000,” katanya.

Tambah Abdullah, pada hari yang sama, jam 7.10 malam, pihaknya turut menemui beberapa bungkusan dalam keadaan mencurigakan di bawah jejantas di kawasan Taman Sawit, Balung, Jalan Apas, di sini.

“Terdahulu, JKDM Tawau melakukan rondaan di kawasan berkenaan sebelum menemui bungkusan hitam dalam keadaan mencurigakan di bawah jejantas di situ.

“Hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui rokok dipercayai hasil seludup dianggarkan bernilai RM12,520 dengan nilai cukai RM47,056,” katanya.

Menurut Abdullah, pihaknya sekali lagi membuat serbuan di pesisir pantai Batu 3, pada 19 Mei lalu.

“Dalam serbuan pukul 3 pagi itu, JKDM Tawau turut merampas rokok seludup dianggarkan bernilai RM36,000 dengan kadar cukai lebih RM100,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama,” katanya.