Kastam Rampas Dadah Seberat 12.41kg Di KKIA

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup keluar dadah seberat 12.41 kilogram yang dianggarkan bernilai RM501,026 di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Melalui pemeriksaan kargo pada 5 petang, 29 September lalu JKDM berjaya mengesan dadah yang diletakkan dalam kotak polisterin berisi ikan sejuk beku yang ingin dieksport ke luar negara.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, ini adalah rampasan kedua yang dilakukan dalam tempoh dua bulan ini dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Beliau berkata, rampasan dadah ini dikesan melalui imej pengimbasan kastam ke atas 23 kotak polisterin ikan sejuk beku yang dilihat mencurigakan.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dadah jenis syabu seberat 9.22 kilogram yang dianggarkan bernilai RM331,956 serta dadah jenis ketamin seberat 3.19 kilogram dengan nilai anggaran RM169,070 yang disembunyikan di dalam kotak polisterin tersebut.

Rampasan itu dibuat hasil maklumat risikan pasukan JKDM dan pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kaitan antara rampasan dadah pada bulan lalu dan bulan ini. Kedua-dua rampasan ini menggunakan modus operandi yang sama.

“Dadah ini cuba diseludup ke negara lain menggunakan khidmat penghantaran barangan. Oleh itu, kita sedang menyiasat ejen-ejen penghantaran barangan ini kerana dua kes yang berjaya ditumpaskan ini berlaku pada tempoh yang begitu dekat.

“Mugkin kedua-dua kes ini berkaitan dan mungkin juga tidak. Kami minta berikan ruang untu menjalankan siasatan terperinci,” katanya semasa sidang media di Wisma Kastam, di sini hari ini.

Abdullah berkata, modus operandi pengedar dadah ini adalah menyembunyikan dadah dalam plastik yang diletakkan di bahagian bawah bungkusan ikan sejuk beku di dalam kotak polisterin yang ingin dieksport keluar negara melalui khidmat penghantaran barangan.

Dadah ini dipercayai boleh menampung kira-kira 50,000 orang penagih dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Dalam pada itu, Abdullah memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan seperti rokok, minuman keras, mercun mahupun dadah yang akan merugikan negara dari segi hasil serta mendatangkan ancaman keselamatan kepada negara.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah penyeludupan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa melalui talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran.