Kastam Patahkan Cubaan Seludup Rokok, Minuman Keras Bernilai RM8.8 juta

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai RM8.88 juta termasuk cukai di Pelabuhan Sepanggar baru-baru ini.

Penolong Pengarah Kastam Sabah, Cheong Yu Min berkata, rokok dan minuman keras yang cuba diseludup masuk itu ditemukan melalui pemeriksaan tiga buah kontena yang diisytiharkan sebagai barangan lain dalam dua rampasan berasingan pada 10 dan 18 September lalu.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menahan tiga buah kontena berisi rokok dan minuman keras yang dipercayai diseludup masuk ke Sabah melalui pelabuhan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.24 juta dan anggaran cukai bernilai RM7.64 juta.

Pemeriksaan itu dilakukan dengan kerjasama pegawai Cawangan Siasatan Khas (CSK), Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar serta Cawangan Operasi, Marin dan Khidmat Sokongan JKDM Sabah.

“Dalam rampasan pertama, hasil penilaian risiko dan imej Imbasan mesin pengimbas yang meragukan, pegawai serbuan telah membuat penahanan terhadap sebuah kontena disyaki berisi rokok yang cuba diseludup masuk di Pelabuhan Sepanggar.

“Pemeriksaan awal ke atas kontena itu menemukan sejumlah 10.2 juta batang rokok putih yang bernilai RM980,000 manakala, anggaran nilai duti dan cukai sebanyak RM6.82 juta,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, dalam rampasan kedua pula, pihaknya menemukan dua buah kontena berisi minuman keras pelbagai jenis sebanyak 52,272 liter yang dianggarkan bernilai RM261,360 manakala, anggaran nilai duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM816,750.

Yu Min berkata, modus operandi kedua-dua kes itu adalah mengisytihar barang seludup sebagai dagangan import lain bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967.

Jelas beliau, orang ramai juga digesa membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah tanya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.