Karya Graduan UMS Dinobat Bestscreen Play di Limkokwing Youth International Film Festival

KOTA KINABALU: Kisah benar perjalanan hidup seni seorang ayah yang dilakonkan semula dalam sebuah filem pendek membawa tuah kepada Siti Nursyahirah Mohd Anwar, 24, apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah Bestscreen Play pada Limkokwing Youth International Film Festival pada 15 Feb lalu.

Membawa tajuk Penjara Seni, filem berdurasi 14 minit 19 saat itu berjaya menyingkirkan lebih 50 peserta lain sekali gus menerima hadiah berupa trofi dan sijil.

Nursyahirah yang merupakan graduan Program Teknologi Visual, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyifatkan pencapaian itu di luar jangkaannya kerana dia berhadapan saingan hebat daripada peserta-peserta antarabangsa.

“Jujur pada masa awal saya mengisi borang pertandingan ni, saya tidak menaruh harapan yang tinggi kerana saya pernah menghantar filem pendek yang sama di pertandingan lain namun tidak berjaya.

“Tetapi saya percaya selagi ada ruang, tidak salah untuk mencuba. Apabila keputusan diumumkan, saya terkejut, gembira dan teruja sekali. Saya bersyukur sebab ini merupakan anugerah pertama saya apatah lagi ia merupakan sebuah pertandingan bertaraf global,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nursyahirah, beliau memilih kisah ayahnya kerana ia sebuah jalan cerita yang menyentuh hati dan baginya ia perlu diketahui umum untuk memberi inspirasi terhadap mereka yang mempunyai minat dan jalan kehidupan yang sama.

“Saya ingin membuka mata semua masyarakat bahawa pelukis “Self-Taught” ini sebenarnya wujud. Bakat yang dianugerahkan kepada seseorang itu tidak sepatutnya dinilai dengan darjatnya mahupun pangkat.

“Ayah sering menceritakan pengalaman hidupnya dahulu yang mungkin hanya kami sahaja yang tahu, dan saya mulai merasakan bahawa saya patut membuat sesuatu agar dapat membuka mata ramai pihak,” katanya.

Nursyahirah berkata, filem pendek itu menceritakan bagaimana ayahnya sebagai seorang ahli seni yang mempunyai minat mendalam dalam bidang lukisan.

“Dia sering dimarahi guru di sekolah kerana buku latihan selalu dipenuhi dengan lukisan. Sampai satu masa, ayah saya dimarahi dan diarah keluar kelas kerana menghasilkan satu lukisan di papan tulis.

“Namun, itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya. Diringkaskan cerita, ayah saya menjual kuih untuk membeli peralatan melukis. Semangatnya semakin berkobar kobar sewaktu berada di sekolah menengah apabila seorang guru dari luar negara telah membeli karya lukisannya dengan harga RM5.

“Apabila meningkat dewasa, dia kemudian memberanikan diri untuk bertanding dalam satu pertandingan lukisan yang disertai ramai pelukis yang profesional dan berpendidikan. Di sini, dia dipandang rendah kerana keadaannya yang miskin dan dikatakan sebagai pelukis kampungan.

“Namun akhirnya dia menang pertandingan itu dan ditawarkan melanjutkan pengajian di London. Apakan daya, sumber kewangan tidak mengizinkan, ayah saya dengan berat hati menolak tawaran tersebut.

“Walau bagaimanapun, ayah saya berjaya membuka sebuah galeri lukisan sendiri,” ujar Nursyahirah sambil memaklumkan filem pendek itu dihasilkan sebagai salah satu projek tugasan akhir tahun ketika menuntut di UMS.

Mengulas lanjut, anak bongsu daripada tiga adik beradik itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama memberi sokongan sehingga berjaya anugerah Bestscreen Play.

“Saya berterima kasih kepada ibu dan semua ahli keluarga saya yang sentiasa memberikan sokongan. Kakak saya Zura Anwar yang banyak membantu saya untuk menyunting skrip. Teman saya Cassius Roland, para pensyarah dan pihak pengurusan UMS, pihak Limkokwing University, para juri, barisan pelakon, rakan-rakan facebook dan semua yang memberi sokongan teristimewa kepada ayah saya, Mohd Anwar Mahmud Chuchu.

“Harapan saya agar negara kita Malaysia akan menganjurkan lebih banyak pertandingan-pertandingan kesenian seperti yang dianjurkan Limkokwing University.

“Pada masa sama, saya juga berharap agar pihak kerajaan Malaysia dapat memberikan lebih banyak dana kepada penggiat seni terutamanya kepada pembuat filem kerana terlalu ramai orang yang berbakat di luar sana namun susah untuk menghasilkan karya akibat tidak cukup dana, termasuk saya sendiri. Akhir sekali, saya berharap agar kualiti penggiat seni di Malaysia akan terus berkembang maju sehingga setaraf dengan penggiat seni antarabangsa,” katanya.

Dengan tema Celebrating the Creativity of Youth, Limkokwing Youth International Film Festival turut disertai peserta dari negara China, Iran, Pakistan, Brazil, India, Philiphines, Botswana, Swaziland,  Syria dan Krygyztan selain peserta dalam negara dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan tuan rumah Limkokwing University.

Bagi mereka yang ingin menonton Penjara Seni dan senarai penuh pemenang semua kategori yang dipertandingkan boleh melawati laman web Limkokwing – Film Festival Winners (filmacademy.com.my).