Kartel Daging: Tiada Isu Daging Import Tidak Halal Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif memberi jaminan bahawa semua daging import yang dibawa masuk ke Sabah tidak berkaitan dengan kartel daging.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan berkala yang dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama beberapa agensi lain mendapati semua daging sejuk beku yang diimport ke Sabah adalah halal.

Katanya, daging-daging import yang berada di pasaran di negeri ini dibawa masuk terus ke Sabah dan tidak melalui Semenanjung Malaysia.

“Oleh itu, saya harap rakyat Sabah tidak khuatir dan bimbang kerana agensi penguatkuasaan sentiasa menjalankan pemantauan.

“Jika ada sebarang keraguan atau apa-apa kemusykilan, orang ramai boleh merujuk kepada JHEAINS,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu berkaitan Isu Kartel Daging, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan sentiasa dilakukan oleh agensi-agensi berkaitan termasuk JHEAINS, Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sabah (JPVS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Untuk makluman, setiap bulan kita mengadakan pemeriksaan mengejut dan tiada sebarang isu daging tidak halal dilaporkan berlaku.

Mohd Ariffin berkata, sekiranya ada laporan dan keraguan, orang ramai boleh melaporkan kepada JHEAINS untuk diambil tindakan.

“Kita tidak akan berkompromi sebab tidak mahu rakyat ragu-ragu dan sentiasa menerima bahan yang halal,” ujarnya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar belilah dan dapatkan daging yang sudah dikenal pasti mendapat persijilan halal.

Buat masa ini Sabah hanya mengimport daging lembu dari New Zealand, Australia, mengimport daging kerbau dari India manakala, ayam pula diimport dari Belanda dan Denmark.

Operasi bersepadu itu diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Informasi JHEAINS, Baharudin Alwi. Operasi dijalankan di empat lokasi berasingan yang membabitkan tiga syarikat pengimport dan pengedar sekitar pusat bandaraya ini.

Operasi itu disertai oleh 50 orang pegawai dan anggota penguatkuasa dari JHEAINS, JPVS, KPDNHEP, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).