Karnival Sukan Pupuk Semangat Kerja Berpasukan

140

KOTA KINABALU: Seiring langkah memupuk semangat kerja berpasukan dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam, Kementerian Kewangan meneruskan lagi penganjuran Karnival Sukan untuk kali ke-10.

Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Datuk Bahari Hassan berkata, karnival sebegini merupakan platform yang boleh memupuk semangat kerja berpasukan selain mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kakitangan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, karnival ini merupakan langkah pertama untuk menuju ke arah gaya hidup sihat.

“Budaya bersukan dan gaya hidup sihat merupakan langkah terbaik meningkatkan kualiti kesihatan hidup manusia.

“Karnival ini mempertandingkan tujuh acara dan akan disertai 14 kontinjen yang terdiri daripada jabatan dan agensi dibawah Kementerian Kewangan,” katanya semasa Majlis Perasmian Karnival Sukan Kementerian Kewangan Kali ke-10, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, karnival ini bermula pada Ogos hingga November.

Pengerusi Penganjur Jawatankuasa Induk Penganjuran Karnival Sukan Kementerian Kewangan Kali ke-10 Mohd Azman Mohd Yussof berkata, antara sukan yang dipertandingkan adalah dart, karom, tenpin boling, badminton, futsal,bola tampar dan ping pong.

Beliau berkata, piala kejohanan dan piala pusingan akan disampaikan pada malam penutupan iaitu pada 23 November ini.