Karnival Kerjaya Dan Diplomasi Awam Sempena Sayang Kimanis Mobile CTC

1477

Oleh BORNEOTODAY
KIMANIS: Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) dan Jabatan Tenaga Kerja akan melangsungkan Karnival Kerjaya, Seranta Dan Diplomasi Awam Sempena Sayang Kimanis Mobile CTC pada Sabtu, 31 Mac 2018 bermula jam 6:30 pagi bertempat di Tapak Tamu Bongawan, Sabah.

Program Mobile CTC merupakan salah satu inisiatif NBOS Kerajaan dalam menyatukan semua perkhidmatan agensi Kerajaan di dalam satu program bersepadu demi rakyat secara menyeluruh selaras dengan hasrat Kerajaan dalam merakyatkan perkhidmatan awam.

Karnival ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar kawasan Parlimen Kimanis yang terdiri daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu DUN Bongawan dan DUN Membakut, demikian dikatakan oleh jurucakap penganjur.

Acara perasmian akan disempurnakan oleh Anifah Haji Aman, Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Kimanis yang diiringi oleh Ramlan Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri.

Acara ini turut akan dihadiri oleh Haji Mohd Ariffin bin Haji Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Membakut dan Mohamad bin Haji Alamin, Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah merangkap ADUN Bongawan serta para pemimpin tempatan dan ketua-ketua masyarakat.

Karnival ini berjaya menghimpunkan lebih kurang 25 buah agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang mana 3 daripadanya adalah kenderaan mobile agensi yang menyediakan perkhidmatan secara bergerak di seluruh Sabah.

Sebanyak lebih kurang 50 jenis perkhidmatan / inisiatif / produk dan program agensi Kerajaan dibawa turun padang secara NBOS menerusi Karnival ini.

Antara pengisian Karnival ini ialah penyediaan perkhidmatan konsular oleh Kementerian Luar Negeri, Semakan Wang Tak Dituntut, Jualan Sentuhan Rakyat, Pemeriksaan BR1M, ujian Pap Smear secara percuma, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, kempen derma darah, pendaftaran lesen Kementerian Kewangan, perkhidmatan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara, perkhidmatan Kaunter Telekom, PR1MA, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar, Khidmat Kaunter Imigresen, semakan saman JPJ dan PDRM, perkhidmatan bergerak oleh agensi-agensi kerajaan seperti FAMA, JKJR, JTK, JPNIN, KEMAS, KPDNKK, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Tabung Haji (LTH) Malaysia, PDRM, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah (ICU-SDO), Pusat Zakat Sabah, serta pelbagai lagi perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan yang turut serta. Aktiviti pengagihan food parcel kepada golongan yang memerlukan akan turut dilaksanakan.

Karnival ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, program pertukaran topi keledar percuma, jualan barangan dapur bersubsidi, pameran kereta klasik dan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Selain itu pengunjung akan turut dihiburkan dengan persembahan artis serta selebriti tempatan seperti Dayang Ceria Megastar, Farahdhiya, Ebi Kornelis dan Aunty Patrin.

Orang ramai adalah dijemput hadir untuk mengambil peluang keemasan ini untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan Kerajaan serta hadiah-hadiah yang ditawarkan dan bersama-sama merasakan kemeriahan karnival ini.