Kapal Nelayan Vietnam Ditahan, Libatkan Rampasan Bernilai RM610K

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Menceroboh perairan Sabah bagi menangkap ikan membawa kepada penahanan sebuah kapal nelayan Vietnam bersama enam awak-awak di kawasan Laut Sungai Asam, Sandakan, di sini pada malam Sabtu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, penahanan itu melibatkan barang rampasan yang bernilai RM610,000.

Ia melibatkan rampasan sebuah kapal, satu set peralatan menangkap gamat (balat) serta 400kg gamat yang disimpan dalam beberapa tong yang diperolehi secara haram semasa melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Sabah.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati enam awak-awak yang ditahan berusia antara 50 hingga 59 tahun itu tidak mempunyai keterangan diri. Malah, mereka juga tidak mempunyai kebenaran atau permit bagi menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia secara sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati juragan kapal itu telah melanggar undang-undang dibawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan diperairan negara tanpa permit yang sah.

“Mereka juga didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan perikanan tidak dilesenkan.

“Juragan dan kru kapal juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Maka, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Mohamad Pajeri berkata PPM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket jenayah rentas sempadan.

Katanya, tindakan secara proaktif dan agresif telah diambil bagi memerangani kegiatan jenayah rentas sempadan sama ada melibatkan pencerobohan nelayan asing mahupun aktiviti penyeludupan di perairan Sabah.

Justeru itu, masyarakat juga disaran agar menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan kepada PPM W4 Sabah di talian Gerakan PPM IPK Sabah 088-454819.