Kanak-kanak Warga British Sesak Nafas, Muntah Ketika Daki Gunung Kinabalu

RANAU : Seorang kanak-kanak lelaki warga British berusia 10 tahun yang mengalami sesak nafas serta muntah-muntah ketika mendaki Gunung Kinabalu, dibawa turun ke kaki gunung oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), malam semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 6 petang semalam selepas kanak-kanak lelaki itu ditempatkan di Bilik Rawatan Awal (Sick Bay) Substesen Panalaban di kilometer 6, Gunung Kinabalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.20 petang.

Katanya sepasukan 5 anggota MOSAR serta seorang malim gunung dan 2 kakitangan Taman-Taman Sabah bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan MOSAR, kakitangan Taman-Taman Sabah dan malim gunung memberikan rawatan awal kepada mangsa.

“Seterusnya mangsa dibawa turun ke kaki gunung di Timpohon Gate menggunakan kaedah Piggy Back Carry.

“Mangsa tiba di Timpohon Gate pada jam 10.18 malam dan diserahkan kepada pihak
Koperasi Serbaguna Kakitangan Taman Sabah Berhad (KOKTAS) untuk dibawa ke penginapan di Kinabalu Park untuk transit dan direhatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi ditamatkan jam 10.48 malam.