Kanak-Kanak Terkunci Dalam Kereta Diselamatkan Bomba

PAPAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun diselamatkan pasukan bomba selepas terperangkap dalam sebuah kereta yang terkunci di belakang Klinik 1 Malaysia Perumahan Kampung Pengalat Besar, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar Roslie Jun berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan jam 4.17 petang.

Menurutnya, 5 pegawai dan anggota dari BBP Papar dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 6 kilometer dari balai.

Setibanya pasukan bomba di lokasi, kanak-kanak lelaki itu didapati masih terkunci dalam kereta jenis Proton Saga
terbabit.

Anggota bomba kemudiannya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Operasi ditamatkan jam 4.34 petang.