Kanak-kanak Tahan Sakit Tersangkut Dalam Mesin Basuh

BELURAN: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terpaksa menahan kesakitan hampir sejam selepas terperangkap dalam mesin basuh di rumahnya di Taman Pandan, Beluran petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beluran berkata, kanak-kanak berkenaan memanjat mesin basuh tersebut sebelum tersangkut di bahagian pengering.

“Pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan tentang kanak-kanak tersangkut di dalam mesin basuh melalui talian MERS999 pada pukul 3.51 petang.

“Bomba Beluran digerakkan untuk respon ke tempat kejadian menggunakan sebuah jentera FRT diketuai Pegawai Bomba Muhamad Radif Barhim bersama tujuh anggota,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, hasil maklumat diterima mengatakan kanak-kanak tersebut memanjat mesin basuh itu menggunakan bangku.

Jelasnya, bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan menggunakan air sabun cucian kain untuk melicinkan badan mangsa.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.16 petang,” katanya.