Kanak-kanak Setahun Antara 65 PATI Ditahan Di Ranau

RANAU: Kanak-kanak berusia setahun antara 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam Operasi Patuh Bersepadu yang dijalankan pada 12 tengah malam tadi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, operasi yang dijalankan ini adalah hasil aduan oran awam kepada Pejabat Imigresen Ranau berkaitan kehadiran PATI di kawasan mereka.

Dalam serbuan yang dilakukan di 10 lokasi berasingan, seramai 173 orang individu diperiksa dan 65 orang PATI yang berusia setahun hingga 70 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Pada operasi kali ini, kita berjaya menahan 43 orang dewasa serta 22 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Kesemua yang ditahan disyaki masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport yang sah, tinggal melebihi masa selepas tamat tempoh pas serta menggunakan permit masuk, pas dan dokumen perjalanan dalam negeri atau perakuan yang palsu.

“Untuk itu, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau ini berkata, operasi ini disertai seramai 98 orang anggota terdiri daripada pegawai imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Romel Macoco Rodolfo.

Antara lokasi yang diserbu adalah rumah kongsi tapak pembinaan di Jalan Mesilau Golf Course, Kundasang; kuarters pekerja MRSM, Tanah Merah, Jalan Kompleks Ranau, rumah kongsi pekerja di loji tapak pembinaan tangki air, Kundasang.

Katanya, operasi yang dijalankan bertujuan membanteras PATI dan mana-mana pihak berkaitan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966, Akta Anti Pemerdagangan Orang (pindaan 2010) dan Akta Penyeludupan Migran 2007.

“Tumpuan operasi ini menjurus kepada majikan yang disyaki mengambil pekerja PATI, melindungi PATI dan terlibat sindiket yang membawa masuk PATI ke negara ini. Tindakan akan diambil selaras dengan undang-undang tanpa kompromi,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua 65 orang PATI yang ditahan turut menjalani proses tapisan kesihatan termasuk saringan Covid-19 sebelum dihantar ke depot Imigresen.

Langkah ini bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jonathan berkata, sejak awal tahun ini, seramai 1,061 orang PATI berjaya ditangkap menerusi 601 operasi yang dijalankan JIM Sabah, manakala 34 majikan telah didakwa. Sehingga kini, 1,739 orang tahanan warga asing diusir keluar ke negara asal masing-masing.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan mereka.