Kanak-Kanak Rumah Kebajikan, Warga Emas Dirai Pada Majlis Buka Puasa

107

LABUAN: Seramai 103 orang kanak-kanak kurang bernasib baik dan warga emas dari beberapa buah rumah kebajikan diraikan pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel ternama di sini malam tadi.

Majlis berbuka puasa itu memberi kesempatan bermakna kepada staf dan pihak pengurusan hotel untuk memupuk hubungan dengan kanak-kanak kurang bernasib baik itu dan menyemarakkan semangat suka memberi dan bersedekah pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Kami gembira untuk berkongsi kemeriahan bulan Ramadan bersama kanak-kanak dan warga emas ini,” kata eksekutif jualan Hotel Lazenda, Rachel Alexandra Lee Suk Yee kepada Bernama.

Beliau berkata acara itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial koporat (CSR) hotel di mana pihak hotel berasa bertanggunjawab untuk memberi balik kepada masyarakat dengan berderma.

Sebelum berbuka puasa, kanak-kanak dan warga emas itu turut menerima ‘duit raya’ sumbangan para penderma yang didahului Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dan para pengasas Kumpulan Lazenda.

Antara mereka yang menerima ‘sampul hijau’ itu ialah 25 kanak-kanak dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Labuan, 62 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul Kifayah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 16 warga emas.

“Ramadan adalah bulan untuk memberi kepada mereka yang memerlukan dan keindahannya bulan Ramadan ialah ia membuka peluang untuk memberi balik kepada masyarakat,” kata Rachel.