KANAK-KANAK MENINGGAL DUNIA TERCEKIK GULA-GULA ‘JELLY’

For illustration only / Sekadar ilustrasi sahaja

LABUAN: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun meninggal dunia selepas tercekik gula-gula ‘Jelly’ di rumahnya di Kampung Batu Manikar pada Rabu malam (22 Mei).

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata, kanak-kanak itu didapati tidak sedarkan diri dan tidak memberikan sebarang tindak balas, setibanya di bahagian kecemasan Hospital Labuan kira-kira jam 10 malam.

Katanya, menurut ibu kanak-kanak tersebut, mangsa telah meminta gula-gula dan beliau terus memasukkannya ke dalam mulutnya, sebelum ibu kanak-kanak itu perasan yang mangsa sukar untuk bernafas dan sesak nafas.

Kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Labuan dan disahkan telah meninggal dunia, di hospital tersebut.
Muhamad Farid berkata, pihaknya masih lagi menyiasat kejadian tersebut dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.