Kanak-kanak Autisme Hilang, Ditemui Selamat

KOTA KINABALU: Selepas dilaporkan hilang selama 22 jam di hutan Kampung Malawa, Jalan Sepanggar di sini sejak 3 petang semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang mengidap autisme, ditemui selamat oleh orang awam yang menjalankan gerakan mencari, di Bukit Janggut, kira-kira 1.30 petang tadi.

Kanak-kanak itu yang dikenali Jayden Gabriel Peter, diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas untuk rawatan lanjut.

Sebelum ini, gerakan mencari Jayden yang dilancarkan pihak berkuasa dan penduduk kampung sejak petang semalam, gagal menemui mangsa dan disambung semula 8.50 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata operasi mencari hari ini membabitkan 12 pegawai dan anggota dari BBP Lintas bersama unit anjing pengesan K9.

Turut serta, 6 pegawai dan anggota polis, Unit Dron Polis, Kelab Dron Bayu serta 50 penduduk Kampung Malawa.

Operasi mencari dibahagikan kepada 3 kumpulan dengan radius pencarian dalam lingkungan 2 kilometer dari rumah mangsa.

Gerakan mencari turut menggunakan rakaman suara ibu Jayden yang dilaungkan di sekitar kawasan pencarian dengan menggunakan dron.

“Mangsa telah ditemui oleh orang awam pada jam 1.30 petang di Bukit Janggut dalam keadaan selamat,” kata Agustavia dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, operasi ditamatkan jam 2 petang tadi.