Kanak-Kanak 4 Tahun Korban Terbaru Covid-19 Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seorang pesakit kanak-kanak perempuan berumur empat tahun serta seorang atuk berusia 130 tahun antara empat kematian yang dilaporkan di Sabah, hari ini.

Kedua-dua kematian itu masing-masing melibatkan bukan warganegara yang disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau dan Hospital Tuaran.

Dua lagi kematian melibatkan seorang warganegara dan bukan warganegara yang kedua-duanya meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan tambahan empat kematian itu menjadikan kes kematian dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 354 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 207 kes.

Hari ini sebanyak 476 kes dilaporkan di Sabah daripada keseluruhan sebanyak 1,315 kes di Malaysia. Daripada jumlah keseluruhan kes itu, 1,310 kes jangkitan tempatan dan lima kes import.

Manakala, empat kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu kluster PTS Sibuga, Sandakan dengan 104 kes positif setakat ini; kluster Tapak Bina Jesselton, Kota Kinablu dengan 44 kes; kluster Dermaga, Sandakan dengan 34 kes serta kluster Tempasuk dengan 12 kes.

Secara keseluruhan enam kluster baharu dilaporkan termasuk empat kluster di Sabah. Kluster lain adalah UD SS2, Selangor dengan 13 kes positif dan kluster Tapak Bina Awan Biru, Kuala Lumpur dengan 31 kes positif.

Bilangan kes sembuh hari ini adalah sebanyak 1,110 kes iaitu bilangan tertinggi setakat ini. Dengan itu, bilangan kumulatif kes sembuh adalah 51,314 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 63,176 kes. Sebanyak 11,508 kes aktif dengan 118 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 43 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.