Kanak-kanak 2 Tahun Terjatuh Dari Anjung Rumah Ditemukan Lemas

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan lemas selepas terjatuh dari anjung rumahnya di perkampungan atas air di Pulau Bai, di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Fairul Iman Fairus itu dilaporkan hilang selepas terjatuh dari anjung rumahnya pada tengahari semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu terus mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) bermula pada 6 petang semalam.

Namun, pencarian pada hari pertama tidak berjaya menemukan mangsa dan operasi carilamat diteruskan pagi tadi.

Beliau berkata, operasi carilamat dipecahkan kepada lima sektor meliputi kawasan seluas 27 batu nautika persegi dengan penglibatan lima aset laut terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Mayat mangsa ditemui terapung oleh penduduk kampung sekitar jam 6.30 pagi tadi di lokasi satu batu nautika utara Pulau Bai dan dihantar ke rumah keluarga mangsa untuk pengesahan.

“Mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jeti Pejabat Pos Sandakan bersama bapanya dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah turut berterima kasih kepada semua agensi dan komuniti nelayan yang terlibat sepanjang operasi tersebut.

Operasi carilamat tersebut ditamatkan pada 8 pagi tadi.