Kampung Tinusa 2 Dikejutkan Dengan Hujan Batu

SANDAKAN: Fenomena luar biasa berlaku di sebuah perkampungan atas air, Kampung Tinusa 2 dekat sini apabila penduduk dikejutkan dengan hujan batu, beberapa minit sebelum waktu berbuka puasa, petang semalam.

Menurut penduduk sebagaimana dilaporkan Bernama, kejadian itu dikatakan berlaku selama kira-kira 20 minit sekitar jam 5.50 petang, ketika hujan lebat dan air kencang.

Meskipun kampung berkenaan sering dilanda hujan lebat dan angin kencang serta air pasang luar biasa berikutan kedudukan kampung yang berhampiran laut terbuka, namun hujan ais (batu) itu adalah yang pertama kali dialami penduduknya.

Sementara itu bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gum-Gum, juga di Sandakan mengalami kerosakan susulan angin kencang dan hujan lebat, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu, jam 8.13 malam.

Menurutnya, sepasukan enam anggota dengan menggunakan sebuah jentera penyelamat kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, 30 peratus bumbung sekolah berkenaan runtuh dan rosak.

“Bagaimanapun kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.