‘Kami Pernah Ditangkap Kerana Pertahankan Tanah’

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
LAHAD DATU: Ditangkap polis kerana cuba mempertahankan ladang milik sendiri, akhirnya tanah yang dibangunkan berpuluh tahun menjadi milik syarikat dari Semenanjung.

Itu antara peristiwa hitam yang tidak dapat dilupakan Robert Solop, 71, kira-kira 15 tahun lalu apabila hasil titik peluh mengusahkan ladang sawit di Kampung Tingkayu, Lahad Datu dirampas orang lain.

ROBERT SOLOP

Menurut Robert, dia dan kira-kira 100 penduduk di situ terpaksa menerima hakikat apabila tanah yang dibangunkan pada tahun 1987 telah dijual oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Musa Aman kepada syarikat swasta.

“Kami sudah dari 1987 membuka itu tanah sudah berbuah sudah semua tahu-tahu pula lain orang yang punya itu, bilang kami ada geran.

“Jadi ambil polis dorang kasih halau sama kami terpaksa kami orang kampung macam mana mahu cari makan dan juga kalau kami ambil itu kayu satu pokok untuk baik pulih rumah kami tidak boleh, tapi kalau Musa Aman dia bejijir (berlambak) itu logging di Kalabakan,” katanya.

Warga emas itu bercakap kepada Borneo Today ketika ditemui di majlis penyerahan geran Anak Negeri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Lahad Datu semalam.

Robert berkata, ladang milik penduduk kampung diambil pihak swasta tanpa sebarang pampasan, malah mereka melihat sendiri pokok sawit yang ditanam ditebang oleh pekerja syarikat untuk penanaman semula.

Namun katanya, bila tiba musim pilihan raya, wakil rakyat kerajaan terdahulu datang merayu undi daripada penduduk kampung.

“Terus ambil polis tangkap kami, sampai mahu menangis budak-budak sebab tiada lagi bikin pembayar itu sekolah-sekolah budak.

YUSAK MUSA

“Jadi daripada itu saya tidak panjang lebar cerita hanya apa-apa yang kemudahan kepada rakyat tolonglah kembalikan kepada rakyat sebab rakyat juga yang dia minta tolong kalau minta undi,” katanya.

Sementara itu, Yusak Musa, 52, dari Kampung Putatan Baru, Lahad Datu berkata, pemberian geran tanah menamatkan penantian penduduk di situ selama 40 tahun sejak kali pertama permohonan dibuat.

Yusak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah melakukan perkara itu, justeru memuji kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mendengar rintihan mereka untuk mendapatkan geran tanah.

“Seramai 76 orang yang menerima geran pada hari ini telah mencapai niat mereka, namun sebahagiannya sudah meninggal dunia selepas 40 tahun tetapi hari ini kesinambungan generasi telah diberi milik geran tanah.

“Kebanyakan yang lain itu banyak tuntutan daripada anak-anak sebab ibu bapa telah meninggal, sekian lama menunggu geran dan tidak dilayan oleh kerajaan yang terdahulu,” katanya.