‘Kami Hanya Mahu Fokus PRN Sabah’ – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: ‘Kita tidak peduli sama ada mereka mahu pilihan raya umum (PRU) di sana atau tidak, kami hanya mahu fokus untuk menang pilihan raya ini’.

Demikian kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sekiranya mereka menang di Sabah, PRU akan diadakan dalam masa terdekat.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, beliau tidak peduli jika mereka mahu mengadakan PRU tapi yang penting, Warisan mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Perdana di DUN Kapayan, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata, kawasan DUN Kapayan sering dilanda banjir maka, langkah penyelesaian perlu diambil termasuk menstrukturkan semula badan yang menyelenggara longkang dan parit.

Beliau berkata, ketika ini ada tiga kementerian yang mengendalikan pengurusan longkang dan parit tapi masalah banjir masih berlaku.

Jadi, beliau mahu memastikan hanya satu badan sahaja yang menguruskannya bagi memastikan pengurusan yang lebih efektif.