Kakitangan UMS Disaran Terus Tingkatkan Kecemerlangan

KOTA KINABALU: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin menyeru agar kakitangan yang menerima kenaikan pangkat untuk terus meningkatkan kecemerlangan dalam bidang tugasan kerja masing-masing.

Katanya, semua kakitangan yang terlibat harus mempunyai anjakan produktiviti dan bekerja dengan lebih berdaya saing berbanding sebelum ini.

“Kenaikan gred menuntut peningkatan kerja yang lebih baik berbanding dengan hasil kerja pada gred jawatan lalu. Semua yang menerima kenaikan pangkat bukan lagi bekerja seperti kebiasaan tetapi mempunyai peningkatan seiring dengan peningkatan jawatan.

“Tapi saya yakin, semua warga UMS sudah tentu mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi apatah lagi kita baru sahaja memasuki awal tahun 2022,” katanya.

Taufiq berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Kakitangan Pentadbiran UMS, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kepentingan universiti perlu diletakkan lebih tinggi berbanding kepentingan peribadi.

“Ini kerana di sini kita mencari sesuap nasi dan rezeki untuk keluarga. Cara pemikiran kita perlu bertukar sepenuhnya namun perlu selaras dengan visi dan misi UMS.

“Kejayaan anda semua ini juga merupakan satu kejayaan universiti. Kerana UMS tidak wujud dengan tenaga seorang sahaja. Ia merupakan gabungan tenaga bersama-sama.

“Justeru, saya mengharapkan kreativiti dan usaha berterusan diaplikasi dalam kerja harian di pejabat masing-masing,” katanya.

Sementara itu Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dalam ucapannya berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua kakitangan yang menerima kenaikan pangkat untuk menunjukkan komitmen dan teladan yang baik kepada kakitangan lain.

“Tahniah atas pelantikan ini dan semoga ia menjadi satu dorongan meningkatkan lagi kecemerlangan UMS secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, seramai 71 kakitangan pentadbiran merangkumi kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana menerima surat tawaran kenaikan pangkat.