Kakitangan Positif, Puspakom KK Ditutup Untuk Disinfeksi

KOTA KINABALU: Susulan seorang kakitangan Puspakom di daerah ini dikesan positif Covid-19, Puspakom mengambil langkah menutup cawangan di sini dengan serta-merta berkuat kuasa hari ini.

Penutupan cawangan itu dilakukan bagi membolehkan proses disinfeksi dan pembersihan secara menyeluruh dilakukan.

Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Puspakom menerusi satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, kakitangan yang disahkan positif Covid-19 itu sedang mendapatkan rawatan dan dikuarantin di sebuah hospital kerajaan.

Proses pengesanan kontak juga sedang dijalankan dan semua kakitangan cawangan juga akan diuji, sementara mereka yang berhubung secara langsung dengan pesakit tersebut telah diarahkan untuk menjalani kuaratin selama 14 hari.

Pembukaan semula Puspakom Kota Kinabalu akan dimaklumkan kelak.

Pihak Puspakom akan mendapatkan nasihat dari Jabatan Pengangkutan Jalan berkaitan kelonggaran pembaharuan permit untuk kenderaan yang tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh Puspakom  Kota Kinabalu ditutup.

Bagi pelanggan yang mempunyai temujanji di Puspakom Kota Kinabalu, semua bayaran tempahan pemeriksaan yang telah dibuat akan dipulangkan secara automatik.

Puspakom akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghadapi gejala ini. Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kepada pelanggan dari semasa ke semasa.