Kakitangan KPDNHEP Komited Perangi Rasuah

Georgie mengetuai bacaan Ikrar Bebas Rasuah dalam majlis perhimpunan bulanan KPDNHEP Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan (KPKPS), Kota Kinabalu.

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Kira-kira 70 kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam perhimpunan bulanan yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan (KPKPS), hari ini.

Bacaan ikrar yang diketuai Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas itu turut disusuli dengan majlis menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, S Karunanithy.

Georgie dalam ucapannya berkata, kali terakhir majlis IBR KPDNHEP Sabah diadakan adalah pada 2017.

Majlis menandatangani dokumen Ikrar Bebas Rasuah disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, S Karunanithy.

“Memandangkan terdapat perubahan kepimpinan organisasi dan kehadiran warga kerja baharu ia wajar diadakan sekali lagi bagi menunjukkan komitmen dalam memerangi gejala rasuah.

“Disamping itu, ia bertujuan mengingatkan pegawai dan kakitangan KPDNHEP Sabah bahawa kejayaan KPDNHEP menjadi kementerian pertama membangunkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) pada tahun lalu perlu diterjemahkan di peringkat negeri dari segi pengukuhan governans, integriti dan antirasuah,” katanya.

Georgie turut merakamkan penghargaan kepada pihak SPRM Sabah atas kerjasama erat selama ini dan berharap hubungan baik itu akan berterusan.

Georgie menyampaikan sijil penghargaan kepada Karunanithy selepas majlis.

“Pihak KPDNHEP Sabah juga sentiasa mengalu-alukan sebarang nasihat dan panduan daripada SPRM Sabah dalam menambahbaik proses kerja demi menutup sebarang ruang dan peluang penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan balas Karunanithy menasihatkan semua penjawat awam sentiasa memelihara integriti masing-masing dan menjaga imej organisasi.

“IBR yang dilafazkan pada hari ini harus sentiasa dijadikan amalan di sepanjang kerjaya sebagai penjawat awam.

“Pihak SPRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-sama penjawat awam yang terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.