Kakitangan AADK Didenda RM12,000 Palsukan Dokumen Tuntutan

KOTA KINABALU: Seorang Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dikenakan denda RM12,000 bagi kesalahan memalsukan dokumen untuk tuntutan elaun perjalanan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini semalam.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Suaif Ag Daud, 47, setelah tertuduh mengaku bersalah atas lapan pertuduhan memalsukan resit penginapan bagi tempoh Februari hingga November 2017 bagi tujuan tuntutan elaun perjalanan dalam negeri.

Bagi pertuduhan pertama, Suaif didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen dua resit hotel/penginapan di Rainbow Hotel berjumlah RM99 dan resit di Grand Hotel berjumlah RM300 pada Februari 2017.

Kedua-dua resit itu digunakan untuk membuat tuntutan dalam Kenyataan Tuntutan Elaun Perjalanan Dalam Negeri bagi bulan Februari 2017.

Untuk pertuduhan kedua hingga kelapan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dilokasi berbeza iaitu menggunakan dokumen palsu resit hotel/penginapan bagi membuat tuntutan dalam Kenyataan Tuntutan Elaun Perjalanan Dalam Negeri bagi bulan Mac sehingga November 2017.

Untuk kelapan-lapan pertuduhan itu, Suaif didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, selaras dengan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah, pendakwaan setuju untuk menggunakan Take Into Consideration (TIC) bagi dua pertuduhan.

Justeru, tertuduh hanya dikenakan hukuman denda RM12,000 bagi enam pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Dalam kes berasingan, dua pembantu Antidadah daripada agensi sama turut dikenakan denda RM4,000 bagi dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen resit hotel/penginapan bagi membuat tuntutan di dalam Kenyataan Tuntutan Elaun Perjalanan Dalam Negeri.

Tertuduh, Mohd Aizat Rosland, 33, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan memalsukan resit hotel/penginapan di dua hotel berbeza pada bulan Mac dan April 2017.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang sama.

Bagi pertuduhan alternatif kedua tertuduh sekali lagi menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu sekeping resit hotel berjumlah RM300 untuk membuat tuntutan sama pada bulan April 2017 antara 1 Mei sehingga 21 Jun 2017.

Untuk kesalahan itu tertuduh didenda mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang sama.