Kaki Terseliuh, Pendaki Wanita Diusung Turun Oleh MOSAR

RANAU: Akibat terseliuh kaki, seorang pendaki wanita terpaksa diusung turun dari kilometer 6 Gunung Kinabalu ke kaki gunung di Timpohon Gate oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), tengahari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu jam 12 tengahari.

Katanya sepasukan MOSAR bersama kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah membantu pendaki berusia 43 tahun itu.

Turut membantu, renjer Taman-Taman Sabah dan malim gunung

Sebaik tiba di lokasi, pasukan MOSAR bersama renjer Taman-Taman Sabah memberikan rawatan awal kepada mangsa.

“Seterusnya mangsa dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan ‘Niel Robertson Stretcher’ dan dihantar ke Hospital Ranau menggunakan jentera EMRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi ditamatkan jam 6.50 petang tadi.