‘Kaki Kaki Kampong’ Jadikan Kiulu Lokasi Pertama Bantu Masyarakat

KIULU: Program ‘Kaki Kaki Kampong’ yang pertama seumpamanya dilaksana di Malaysia dilihat berjaya mencapai kejayaan yang amat baik setelah mengutip hasil transaksi jualan mencecah RM11,000 dalam tempoh dua hari.

Setiausaha Politik Ketua Menteri di Kementerian Kewangan Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, inisiatif sektor swasta ini menjadikan Kampung Tulung dibawah Mukim Ulu, Kiulu sebagai perintis kepada program yang membantu masyarakat setempat bergiat dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata, program yang dilancarkan oleh Koperasi Wawasan Rakyat Sabah dengan kerjasama beberapa agensi dan syarikat tempatan ini turut dilaksana bagi menyeragamkan harga barang runcit serta mempromosikan barangan tempatan.

Jo-anna beramah mesra dengan penduduk kampung yang hadir .

“Pelaksanaan program yang menjadikan kampung yang paling jauh di Kiulu itu sebagai lokasi pertama memperlihatkan penjualan barangan terlibat bukan hanya barang runcit tetapi juga, hasil pertanian seperti nenas,pisang dan labu.

“Program ini terbahagi kepada pembekalan barangan dan pengumpulan produk.

“Untuk membekalkan barangan, penghantaran bekalan barangan runcit kepada penduduk dilakukan sebulan sekali pada harga ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Pengumpulan produk pula membantu penduduk setempat mengumpulkan hasil tani untuk dipasarkan di pasaraya utama,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Inisiatif ‘Kaki Kaki Kampong’ (#kaki2kampong), di Kampung Tulung, di sini pada Jumaat.

Penduduk kampung yang hadir ketika Majlis Perasmian Inisiatif ‘Kaki Kaki Kampong’ (#kaki2kampong).

Jo-Anna yang juga Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, setiap bulan penduduk boleh membuat pesanan keperluan barangan runcit melalui wakil-wakil koperasi yang berada di kampung mereka.

Menurutnya, program sebegitu akan turut dilaksana di Mukim Nabalu dan Mukim Lembah, Kiulu kerana kedua-dua mukim itu mempunyai golongan B40 yang teramai.

Dalam pada itu, Jo-Anna turut melihat Kiulu sebagai kawasan berpotensi untuk membangunkan sektor agro pelancongan.

Katanya, Kiulu memiliki kawasan dengan tanah yang subur dan sesuai untuk penanaman nenas yang dilihat mempunyai pasaran yang baik.

“Saya mendapati penduduk di sini banyak terlibat dalam kerja-kerja kebun dan bercucuk-tanam. Jadi, tidak mustahil untuk membangunkan daerah kecil ini sebagai peneraju sektor agro-pelancongan.

“Keadaan geografi Kiulu yang berbukit menjadikan kawasan ini begitu sesuai dengan penanaman nenas. Malah, nenas yang terhasil juga cukup manis,” ujarnya.

Beliau berkata, langkah menjadikan Kiulu sebagai hab pengeluaran tanaman organik dan bebas racun di Sabah akan mampu dicapai dengan pembangunan sektor agro-pelancongan di daerah kecil ini.

Katanya, dalam membangunkan agro-pelancongan di Kiulu, pusat pertanian berasaskan pendidikan boleh diwujudkan. Disamping itu, inap desa dengan tarikan pertanian dan produk makanan berasaskan tani boleh dibangunkan.

Antara produk berasaskan tani termasuklah sambal tuhau, serunding tuhau, sambal bunga kantan, jus durian belanda dan banyak lagi.

“Kraftangan berasaskan buah dalai juga boleh diusahakan penduduk setempat.

“Bagaimanapun, pembangunan agro-pelancongan ini perlu dilaksana dengan kerjasama agensi berkaitan agar penduduk kampung dapat mengikuti kursus dan bimbingan keusahawanan,” ujarnya.