‘Kaki Kaki Kampong’ Bantu Petani Jual Hasil Tanaman Masa PKP -Jo Anna

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIULU: Operasi tamu yang dihentikan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pasti mengakibatkan ramai petani kecil di kawasan luar bandar terjejas.

Namun, bagi penduduk di 30 buah kampung di Sabah yang terlibat dalam Program ‘Kaki Kaki Kampong’, situasinya sedikit berbeza.

Biarpun PKP dilaksana namun, hasil tanaman mereka masih boleh dijual melalui program tersebut. Malah, barangan keperluan asas juga boleh diperoleh menerusi program itu.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, program yang dilaksana di bawah Koperasi Wawasan Rakyat Sabah Berhad (KOWR) ini ternyata berkesan dalam membantu penduduk luar bandar terutama semasa PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dengan pelaksanaan program Kaki Kaki Kampong secara bergerak (mobile) ketika PKP dan PKPB, ia memudahkan penduduk di kawasan luar bandar menjual hasil tanaman masing-masing tanpa perlu ke tamu.

Beliau berkata, susulan wabak pandemik Covid-19, aktiviti jualan di tamu tidak dibenarkan beroperasi dan ia pastinya menyebabkan penduduk kampung yang kebanyakan bercucuk tanam tidak dapat menjual hasil tanaman.

Namun, di kawasan Kiulu, sejak Julai 2019, petani kecil tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya untuk berniaga di tapak tamu. Menerusi program Kaki Kaki Kampong, hasil tanaman mereka akan dikumpulkan di satu kawasan dan seterusnya akan dibeli oleh KOWR.

Beliau berkata demikian semasa Program Kaki Kaki Kampong di Kampung Pahu, Kiulu, di sini hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan program ini antara lain membantu penduduk luar bandar menjana pendapatan disamping mengurangkan kos sara hidup mereka melalui penyeragaman harga serta mempromosi produk tempatan.

Katanya, melalui Kaki Kaki Kampung, KOWR turut membawa masuk barangan keperluan asas yang dijual kepada penduduk kampung dengan harga yang sama seperti harga di bandar. Maka, penduduk luar bandar tidak perlu bimbang tenatang kos pengangkutan untuk mendapatkan barangan keperluan.

Langkah sebegini ternyata memudahkan penduduk kampung untuk mendapatkan barangan keperluan terutama semasa PKP.

“Melihat keberkesanan program ini, selaku Kerajaan Sabah, kita berharap program sebegini akan diperluaskan ke kawasan pedalaman.

“Saya harap program ini akan dilaksana di Tuaran, Tamparuli serta daerah-daerah lain terutama kawasan pedalaman di Sabah. Ia kerana secara tidak langsung, program ini dapat membantu petani kecil untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.

“Melalui pelaksanaan program ini semasa PKP, kerajaan negeri berharap ianya dapat meringankan bebanan petani kecil,” ujarnya.

Melalui Kaki Kaki Kampong, KOWR akan masuk kampung yang jauh di pedalaman untuk membeli hasil tanaman seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Disamping itu, KOWR turut membawa barangan keperluan asas untuk dijual kepada penduduk luar bandar.

Sementara itu, Pengerusi KOWR, Darren Lo berkata, kaedah pengumpulan hasil tanaman penduduk kampung semasa PKP agak berbeza dimana, ia dilakukan secara bergerak (mobile).

“Jika sebelum PKP, kami berkumpul di dalam dewan untuk membeli hasil tanaman dan juga menjual barangan keperluan asas, tapi semasa PKP kita memaklumkan penduduk kampung bila kami akan datang mengambil hasil tanaman mereka.

“Barangan keperluan asas juga hanya diletakkan di dalam lori dan penduduk hanya perlu memberitahu apa barangan yang diperlukan. Setiap kampung kami hadkan selama 1jam 30 minit bagi mengambil hasil tanaman dan untuk mereka membeli barangan keperluan,” jelasnya.

Mengenai purata hasil jualan tanaman penduduk kampung yang terkibat dalam program itu, setiap bulan jualan mereka antara RM50,000 hingga RM60,000 untuk kawasan Kiulu yang banyak menghasilkan tanaman nenas dan serai.