Kaki Anak Gajah Dipotong Akibat Kecederaan Terkena Jerat

LAHAD DATU: Akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab memasang terkena jerat, anak gajah kehilangan kaki sebelah kanan kerana kecederaan teruk yang dialami.

Insiden itu dilaporkan oleh orang awam yang melihat anak gajah betina berusia kurang dua tahun yang kelihatan cedera di kawasan Tungku pada Sabtu lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin berkata, pemeriksaan susulan Unit Penyelamat Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah pada Isnin mendapati kaki anak gajah itu hampir putus akibat terkena jerat.

Bagi mengelakkan tisu kaki anak gajah itu lebih parah dan tidak berfungsi maka, pergelangan kakinya terpaksa dipotong oleh pegawai veteriner yang memberi rawatan.

“Saya sedih melihat perbuatan tidak bertanggungjawab yang memasang jerat hingga menyebabkan kecederaan yang parah kepada anak gajah tersebut.

“Perbuatan memasang jerat ini merupakan satu tindakan yang amat kejam dan menyalahi undang-undang Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Untuk menyelamatkan anak gajah ini, pergelangan kakinya terpaksa dipotong. Keadaan ini menyebabkan bukan sahaja ia hilang peluang untuk hidup bebas dengan kawanannya malah ia terpaksa hidup dalam keadaan cacat seumur hidup.

“Pada umur kurang dua tahun, anak gajah masih memerlukan ibunya untuk menyusu dan berinteraksi sosial dengan kawanannya,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, memburu haiwan menggunakan jerat merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 33 (1)(k)(iii), Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM20,000 tetapi tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang 6 bulan tetapi tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau juga mengingatkan semua pihak agar tidak memasang jerat untuk apa-apa tujuan sekalipun kerana perbuatan tersebut adalah menyalahi undang-undang.

“Saya juga menyeru kepada semua pengurusan ladang agar mempastikan pekerja mereka tidak memasang jerat di hutan kerana ini mungkin boleh mengaitkan ladang mereka dengan perbuatan kejam ini.

“Jabatan Hidupan Liar menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000.00 bagi mana-mana pihak yang boleh memberi maklumat mengenai aktiviti pemasangan jerat sehingga membawa kepada penangkapan individu yang melakukan pemasangan jerat ini dan seterusnya dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini dipohon untuk menghubungi 016-810 9901. Maklumat pemberi maklumat adalah dirasiakan dan orang ramai tidak perlu risau mengenai kebocoran identiti mereka.

Ends.