Kajian Menyeluruh Perlu Sebelum IPCMC Dibentuk

52

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kajian menyeluruh diperlukan sebelum pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) dibentuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, kajian perlu dilakukan tentang akibat pembentukan IPCMC itu kepada polis dan masyarakat.

Beliau mempersoalkan kewibawaan aduan yang dikemukakan pihak tertentu hingga kerajaan ingin menubuhkan IPCMC bagi menangani masalah salah laku dalam kalangan anggota dan pegawai polis.

Katanya, kajian berdasarkan negeri, bangsa, agama serta status perlu dilakukan bagi menilai dan melihat gejala salah laku dalam kalangan anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

“Sebelum RUU ini dilaksana, kajian hitam putih perlu dibuat terlebih dahulu dengan mengambil kira suara polis.

“Jika dilihat PDRM berjaya melaksana tangunggjawab dengan baik dalam mengekalkan keselamatan negara.

“Atas sebab itu, kalau boleh RUU sedia ada ini perlu diubahsuai berdasarkan sesi pendengaran awam yang telah dilaksana.

“Jangan sampai kumpulan minoriti memanupulasi dan ekploitasi kumpulan majoriti,” katanya ketika menyampaikan hujah semasa Sesi Pendegaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU IPCMC 2019, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU IPCMC 2019 Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh berkata, segala proses pendengaran awam yang dilakukan akan dirumuskan dan dibentangkan dalam parlimen untuk dibahas.

Buat masa ini peranan Jawatankuasa Pilihan Khas hanya mendengar dan mengambil kira pandangan dikemukan semua pihak berkepentingan termasuk polis, parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Menurutnya, sesi pendengaran awam di Sabah ini adalah sesi keempat dan terakhir yang dilakukan di luar Parlimen. Segala perkara yang dibentangkan akan diambil kira dan dirumuskan sebelum 18 November ini.

“Sesi pada hari ini melibatkan 141 orang dan ini merupakan penyertaan terbesar selepas tiga sesi pendegaran awam yang dilakukan sebelum ini di Kuching, Pulau Pinang dan Johor.

“Sesi pendengaran ini akan diteruskan di Parlimen sebelum segala rumusan dibuat sebelum 18 November ini untuk dikemukakan kepada Kabinet Persekutuan,” ujarnya.

Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU ini turut dianggotai oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen (MP) Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, MP Tangga Batu Rusnah Aluai, MP Kampar SU Keong Siong, MP Julau Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien, MP Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, MP Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah.