Kaji Dan Teliti Prosedur Jabatan Tutup Ruang Berlaku Rasuah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali mahu sistem dan prosedur setiap jabatan dan unit di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sentiasa dikaji dan diteliti agar tiada ruang berlaku rasuah dalam kalangan kakitangan DBKK.

Beliau berkata, usaha itu dilihat sebagai langkah yang boleh membendung gejala rasuah dalam kalangan kakitangan awam yang berkhidmat di DBKK.

Katanya, gejala rasuah dilihat memberi implikasi negatif terhadap pentadbiran perkhidmatan awam, maka seluruh warga DBKK perlu berganding bahu untuk membanteras gejala rasuah.

“Saya mahu kita mempergiatkan dan mempertingkatkan kempen-kempen pemantapan integriti dalam kalangan warga kerja DBKK.

“Kempen sebegini penting kerana isu kemerosotan integriti antara faktor yang mendorong seseorang untuk melakukan rasuah, menyalahguna kuasa dan melakukan penyelewengan,” katanya semasa berucap merasmikan Program Bicara Integriti dan Anti Rasuah DBKK, di sini hari ini.

Arifin berkata, setiap anggota DBKK juga perlu memainkan peranan dalam membantu menjayakan kempen bagi menyebarluas mesej anti rasuah yang dilaksana dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, kempen yang dilaksana juga perlu menyasarkan golongan belia yang dilihat antara golongan yang ramai terlibat dalam gejala rasuah.

”Daripada keseluruhan responden yang dikaji, 55 peratus golongan belia didapati terlibat dengan gejala rasuah. Keadaan ini membimbangkan kerana golongan ini merupakan pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan,” ujarnya.