Kaedah terbaik naiktaraf sistem pengangkutan di KK dikenalpasti-Mayor

232
Nordin (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Juhar dalam Majlis Rumah Terbuka berkenaan.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengenalpasti kaedah terbaik dalam memperbaharui dan menaiktaraf sistem pengangkutan dan pengurusan pengangkutan di Bandaraya Kota Kinabalu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman berkata, cadangan menaiktaraf sistem pengangkutan di bandaraya ini sudah dibentangkan kepada Kerajaan Negeri baru-baru ini.

“Bagaimanapun, pihak DBKK masih menunggu keputusan rasmi Kerajaan Negeri untuk menaiktaraf sistem pengangkutan di bandaraya ini.

“Langkah menaiktaraf sistem pengangkutan yang ada ini akan dilaksana secepat mungkin bagi memenuhi kehendak orang ramai yang mahukan kerajaan menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik di pusat bandaraya,” katanya ketika ditanya mengenai keperluan pembinaan Terminal Bas yang lebih teratur di Pusat Bandaraya ini.

Pembantu Menteri Kewangan Kenny Chua bersalaman bersama Tun Juhar yang baru tiba dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DBKK, di sini pada Rabu.

Ditanya adakah DBKK merancang untuk melarang penggunaan penyedut minuman plastik atau plastik straw seperti yang bakal dilaksanakan di Selangor bermula Julai, Nordin berkata, pelaksanaan larangan sebegitu di pusat bandaraya ini akan dikaji terlebih dahulu.

“Kita akan melakukan kajian mengenai perkara ini. Kita maklum beberapa negeri bakal melaksanakan larangan penggunaan plastik straw ini namun, untuk Kota Kinabalu kita akan kaji pelaksanaannya dari segi undang-undang.

Pelajar sekolah yang turut membuat persembahan dalam majlis berkenaan.

“Pelaksanaan larangan sebegini melibatkan pihak berkuasa dan perundangan jadi kita kena melihat baik buruk pelaksanaan larangan itu, ” katanya.

Menurutnya, setakat ini DBKK belum mempunyai sebarang undang-undang untuk melarang penggunaan plastik straw.

Mengenai sambutan majlis itu, Nordin berharap majlis berkenaan akan mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim serta mengukuhkan kerjasama antara warga bandaraya dengan kakitangan DBKK.

Beliau juga berharap majlis itu dapat menyemai semangat kerjasama, persefahaman dan persahabatan yang baik agar usaha membangunkan DBKK dapat diteruskan.

Toh Puan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang hadir dalam majlis rumah terbuka berkenaan.

Dalam majlis itu, isteri Yang DiPertua Negeri Toh Puan Norlidah R.M Jasni turut menyampaikan sumbangan bagi pihak DBKK kepada 20 orang penghuni Rumah Anak Yatim As-Sakinah Lokkawi.

Majlis itu dihadiri Yang DiPertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali, Pembantu Menteri Perdagangan & Perindustrian Azhar Matussin, Pembantu Menteri Undang-Undang & Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Ahmad Abdul Rahman.