Kadar Pengangguran Di Labuan Paling Tinggi; Masih Tiada Penyelesaian

Oleh SIMSUDIN SIDEK
KOMEN: Labuan mencatatkan kadar pengangguran tertingi dalam Malaysia pada tahun 2014 dan 2015 seperti yang dibentangkan oleh EPU (Unit Perancang Ekonomi) dalam satu seminar pelaburan di Terengganu pada tahun 2016. Labuan mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 5.1 peratus pada tahun 2014 dan berada pada kedudukan yang sama pda tahun 2015 dengan kadar yang semakin meningkat iaitu sebanyak 5.5 peratus.

Kadar pengangguran semakin buruk di pulau ini apabila syarikat seperti Schlumberger memulakan proses pembuangan pekerja susulan kesan penyusutan harga minyak bermula 2015.

Labuan mencapai pembangunan pesat dan menikmati manfaat infrastruktur asas yang saksama sejak ia menjadi Wilayah Persekutuan 32 tahun lalu, seiring kemajuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Labuan mengalami perubahan pesat dalam pembangunan sosial dan kemajuan ekonomi sejak ia diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.

SIMSUDIN SIDEK

Peluang pekerjaan yang mencukupi sudah diwujudkan di pulau ini sejak ia diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan dan selepas Labuan menjadi pusat kewangan antarabangsa negara serta hab minyak dan gas.

Kenyataan pemimpin UMNO-BN pada hari ini banyak yang menjengkelkan kerana tidak berpandukan fakta dan bercanggah dengan realiti sebenar.

Pada 31 Januari, menteri Wilayah Persekutuan ketika ditemubual stesen radio BFM89.9 berkata beliau berhasrat menjadikan Langkawi, sebahagian Melaka dan Pulau Pinang sebahagian wilayah persekutuan sekiranya diberi peluang. Beliau kemudian memasukkan Pulau Tioman dalam senarai hasrat itu.

Beliau berkata ia akan memastikan pembiayaan, pembangunan dan perumahan mencukupi dari kerajaan persekutuan untuk kawasan tersebut.

Tengku Adnan Mansor sepatutnya menumpukan pembangunan terhadap Wilayah Persekutuan yang sedia ada terutamanya Pulau Labuan yang jelas ketinggalan jauh berbanding Wilayah Persekutuan yang lain sebelum bercita cita menjadikan tempat-tempat tersebut sebagai Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan sepatutnya malu dan bercermin diri sendiri tentang nasib rakyat yang masih terhimpit kehidupan mereka di Pulau ini.

Pada 2013, Tengku Adnan mencadangkan kenaikan kadar cukai taksiran antara 100 peratus hingga 250 peratus berbanding kadar asal, sebelum memutuskan kadar naik antara 10 peratus dan 25 peratus.

Pada 2014, beliau berhasrat mengharamkan dapur jalanan dalam kawasan 2km radius di pusat bandar Kuala Lumpur kerana “dapur jalanan hanya menggalakkan orang ramai terus jadi gelandangan dan menganggur.”

Tahun ini, cadangannya untuk mengharamkan kapcai masuk kawasan bandar juga menimbulkan rasa tidak puas hati warga Kuala Lumpur.

Apakah kita harus bergantung harap pada pemimpin seperti ini untuk perjuangkan nasib rakyat bawahan dan negara???

• Simsudin Sidek ialah ketua cabang PKR Labuan