
Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Usaha berterusan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilihat antara penyumbang kepada penurunan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara.
Pengarah JPJ Sabah Sadim Abdul berkata, indeks kematian akibat kemalangan jalan raya, pada tahun lalu adalah sebanyak 6,284 kematian berbanding tahun sebelumnya iaitu 6,740. Ia menunjukkan penurunan 6.77 peratus.
”Penurunan itu adalah hasil usaha berterusan menerusi kempen, program advokasi dan penguatkuasaan yang dilaksanakan selama ini,” ujarnya.
Disamping itu, JPJ turut menyumbang kepada kutipan hasil negara yang mencecah RM4.23 bilion pada tahun lalu yang mana, hampir 69 peratus disumbangkan oleh Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Jumlah hasil yang dikutip itu meningkat 3.32 peratus berbanding hasil yang dikutip pada tahun sebelumnya.
”Di Sabah pula, JPJ negeri berjaya menjana hasil berjumlah RM146.4juta pada tahun lalu. Untuk tahun ini, JPJ Malaysia menyasaran kutipan hasil sebanyak RM4.3bilion.
”Jumlah kutipan hasil yang besar ini jelas memperlihatkan sumbangan JPJ dalam proses pembangunan negara amat signifikan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan sempena Hari JPJ ke-73 peringkat negeri Sabah, di sini pada Khamis.
Menurutnya, bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti dan mesra rakyat, JPJ Sabah perlu dinamik dalam menyesuaikan diri dalam perubahan persekitaran dunia.
Sadim berkata, kepesatan perkembangan teknologi dalam Revolusi Industri 4.0 perlu dimanfaatkan agar kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dapat dipertingkatkan supaya mampu membendung masalah ketirisan yang berlaku dalam jabatan berkenaan.
”Selaras dengan tema sambutan Hari JPJ ke-73 iaitu ‘Digitalisasi Ke arah Intergriti’, JPJ Sabah akan menambahbaik kualiti perkhidmatan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi.
”Antaranya termasuklah pembayaran tanpa tunai yang melibatkan penggunaan kad kredit atau kad debit yang sedang diperluaskan penggunaannya di semua kaunter JPJ di Sabah,” katanya.