Kadar Indeks Jenayah Di Labuan Turun

LABUAN: Kadar indeks jenayah di Labuan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini turun 47.37 peratus kepada 30 kes berbanding 57 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pemangku Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani mengaitkan penurunan indeks jenayah itu dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun ini.

Beliau berkata kes pecah rumah menurun sebanyak 62 peratus, daripada 16 kes bagi tempoh Januari hingga Mac tahun lepas kepada enam kes tahun ini.

“Susulan pelaksanaan sekatan jalan raya setiap hari di jalan-jalan utama di sini dan rondaan polis di semua kampung semasa PKP awal tahun ini, indeks jenayah menurun dengan ketara.

“Sekatan pergerakan yang menyebabkan orang ramai berada di rumah telah menyumbang kepada penurunan kes pecah rumah,” katanya kepada Bernama selepas sambutan Hari Polis ke-214 di sini hari ini.