Kadamaian Akan Terus Membangun, Jamin Menteri PLB Ewon Benedick

930
Shafie Apdal (tengah) bersama Ewon Bendick (empat kanan) dan Madius Tangau (enam kanan) memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2019 DUN Kadamaian berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick memberi jaminan bahawa lebih banyak projek pembangunan akan dilaksana di 74 buah kampung yang berada di kawasan Kadamaian pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian itu berkata, jika sepanjang tahun lalu hampir RM5 juta peruntukan disalurkan bagi pelaksanaan projek-projek menaiktaraf jalan kampung, jalan konkrit serta jambatan maka, tahun ini jumlah itu akan bertambah.

Sejak diberi mandat menjadi Adun mewakili masyarakat Kadamaian tujuh bulan lalu, beliau berjaya membawa masuk peruntukan yang besar untuk memastikan kemudahan asas di kawasan itu ditambahbaik dan dipertingkatkan.

“Itu akan menjadi fokus saya dalam tempoh lima tahun ini, iaitu bagi menaiktaraf jalan-jalan kampung yang boleh diberi kelulusan peruntukan di bawah kementerian saya selain jalan di bawah penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya dan kementerian lain.

“Saya berharap tahun ini, kita boleh membawa masuk peruntukan yang lebih banyak (ke Kadamaian) tidak kira sama ada ianya peruntukan sebagai Adun mahupun menteri. Peruntukan tahun ini pastinya lebih banyak berbanding peruntukan yang diperolehi sepanjang tujuh bulan lalu.

“Dalam majlis tadi, kita menerima peruntukan khas RM1 juta bagi membina bangunan lebih besar di Pekan Taginambur serta menaiktaraf tapak tamu,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2019 DUN Kadamaian, di Dewan Gopog Taginambur, di sini pada Khamis.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) berkata, peruntukan berjumlah hampir RM5juta itu hanya membabitkan projek-projek kecil. Ia belum termasuk projek besar yang di bawah seliaan Pejabat Daerah Kota Belud dan agensi lain yang terlibat.

Menyentuh tentang sambutan itu, beliau berkata, sambutan sebegitu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap masyarakat Kadamaian yang sentiasa memberi sokongan terhadapnya.

Katanya, kejayaan penganjuran majlis itu memperlihatkan kesatuan dan kerjasama berpasukan yang diperlihatkan masyarakat setempat.

“Saya yakin dengan sokongan tidak berbelah bahagi ini selaku Adun dan ahli Jemaah Kabinet Negeri, saya akan dapat membawa kemajuan dan pembangunan di kawasan Kadamaian dalam tempoh lima tahun ini,” ujarnya.