Katanya apa yang perlu adalah mempertingkatkan peranan mahkamah anak negeri bagi membantu membuat pengesahan kepada asal-usul pemohon status kewarganegaraan itu.
“Sabah adalah sebahagian Malaysia, dan mengeluarkan kad pengenalan sendiri untuk penduduk asal Sabah bukan penyelesaian sebenarnya.
“Apa yang perlu, kita harus melihat semula peranan mahkamah anak negeri yang boleh bantu dalam penyelesaian isu, memberi pengesahan kepada kelahiran dan berkaitan asal-usul pemohon kewarganegaraan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Iftar Warisan Labuan di kediaman Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli semalam.
Katanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh bekerjasama rapat dengan mahkamah anak negeri dalam membantu kepada penyelesaian pengeluaran dokumen pengenalan diri (surat lahir dan kad pengenalan) kepada pemohon yang meragukan.
Jaujan berkata masih ramai penduduk etnik di Sabah seperti kaum Lundayeh, Murut dan Dusun terutamanya yang tinggal di pedalaman masih belum dilengkapi dengan dokumen diri.
Katanya, ramai kanak-kanak di Sabah tidak memiliki dokumen pengenalan diri juga disebabkan perkahwinan ibu-bapa mereka tidak berdaftar.
“Kita tidak harus menyulitkan proses pengeluaran dokumen diri kepada anak-anak Sabah, yang jelas berasal dari negeri Sabah, tetapi harus dibantu diberikan dokumen pengenalan diri.
“Sekiranya isu ini disulitkan, maka, ianya tidak dapat diselesaikan dan akan menambah bilangan anak Sabah tanpa pengenalan diri, dan akan menjadi isu negara,” katanya.
Sebelum ini, isu cadangan mengeluarkan kad pengenalan oleh parti politik untuk penduduk berasal Sabah menjadi bualan ramai dan menjadi modal politik di negeri itu.
Sementara itu, Jaujan berkata masih ramai pemimpin berkaliber di Sabah boleh mentadbir dan mengurus dengan baik sumber kekayaaan negeri itu.
“Kita tidak menentang polisi Kerajaan Persekutuan, tetapi kita lihat, pembangunan sosio-ekonomi di Sabah masih belum dapat diseimbangkan.
“Bagi peluang kepada Sabah mengurus tadbir sumbernya, bagi memastikan rakyat Sabah menikmati kekayaan sumber yang ada di negeri mereka sendiri,” katanya.
Jaujan berkata susulan ketidak-seimbangan pembangunan di Sabah berbanding di Semenanjung, ramai warga Sabah terpaksa berjauhan dengan keluarga dan berhijrah ke negeri-negeri maju seperti di Johor dan Selangor.
Jaujan juga menyentuh isu bekalan air dan letrik yang masih tidak stabil sedangkan Sabah mempunyai sumber air yang mencukupi.
“Kota Belud dan Beaufort selain Penampang setiap tahun dilanda banjir, tetapi ada kawasan-kawasan tertentu di daerah-daerah ini menghadapi masalah bekalan air.
“Begitu juga dengan isu jalanraya rosak yang bertahun-tahun belum dapat diselesaikan, sedangkan Sabah juga pengeluar batu dan simen,” katanya.