Kabinet Telah Dibentuk, Tiba Masa Tunaikan MA63 – Azis Jamman

AZIS JAMMAN

KOTA KINABALU: Walaupun ruang harus diberikan kepada Perdana Menteri untuk mengurus tadbir negara dengan barisan Kabinet yang baharu dibentuk namun, tuntutan Sabah dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu segera dilaksanakan.

Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk menunaikan tuntutan Sabah dalam konteks MA63.

“Maka, kita boleh memberikan masa kepada Perdana Menteri untuk mencerakin dan menulusuri sejarah Perjanjian Malaysia 1963 ini. Ia harus ditunai dan dilaksanakan seperti dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan Sabah.

“Tetapi, jangan pula ia memakan masa yang lama untuk dilaksanakan kerana perjanjian ini adalah perjanjian antarabangsa yang sah dari segi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat sewajarnya memberi peluang kepada Perdana Menteri baharu itu untuk mengurus pentadbiran negara serta menjayakan reformasi yang dijanjikan kepada rakyat dan negara.

“Dalam konteks Sabah, beliau (Anwar) harus menunaikan dan melaksanakan MA63 sebagaimana yang telah dijanjikan,” katanya.

Menurut beliau, mungkin ada penyokong Warisan yang kecewa kerana tiada wakil Warisan dilantik sebagai menteri penuh namun, parti ini akan terus kekal dengan prinsip untuk menghormati mandat rakyat.

Beliau berkata, siapa pun yang dilantik itu adalah prerogatif Perdana Menteri yang patut dihormati dan tidak sepatutnya timbul soal kecewa.

Biarpun tiada representasi Warisan dalam Kabinet yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu namun, Warisan kekal menyokong Kerajaan Perpaduan.

Jika diihat Warisan amat konsisten menyokong Anwar Ibrahim sejak di pringkat awal selepas Langkah Sheraton. Malah, ketika pemilihan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Warisan bertindak memberikan surat akuan (SD) bagi menyokong Anwar Ibrahim.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semasa tiada parti melepasi angkat 111 kerusi, Warisan sekali lagi menjadi parti terawal yang telah memberikan SD kepada Anwar Ibrahim.

Namun apabila Kabinet dibentuk, tiada satu pun jawatan diberikan kepada Warisan berbanding parti-parti yang memberikan sokongan setelah Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

“Situasi ini membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa Warisan bukanlah parti yang mengejar jawatan semata-mata tetapi yang berprinsip pada asas perjuangannya iaitu mengutamakan tuntutan kepada hak-hak Sabah.