Kabinet Negeri Luluskan Projek Pembangunan Tanah Sabah Di Ampang

hilir

KOTA KINABALU – Perjanjian penswastaan tanah untuk membangunkan sebidang tanah bagi projek pembangunan bercampur di Ampang, Kuala Lumpur, diluluskan oleh kabinet negeri Sabah.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman berkata Rabu, projek itu, yang dimulakan pada 1997, tertangguh selama bertahun-tahun.

Beliau berkata pada 2009, kerajaan negeri memanggil pemaju terbabit untuk memberi taklimat menyeluruh berhubung jenis dan status projek berkenaan.

“Selepas kajian mendalam, kerajaan negeri berpendapat bahawa daripada membiarkan projek itu tertangguh selama tempoh yang tidak pasti, ia sepatutnya dihidupkan semula tetapi dengan terma dan syarat yang lebih baik.

“Justeru, kerajaan negeri menerusi Unit Perancangan Ekonomi Negeri berunding semula bagi terma dan syarat yang lebih baik, terutamanya dari segi mendapatkan pulangan yang lebih menarik bagi Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sukarti Wakiman
Sukarti Wakiman

Cadangan itu kemudiannya dibentangkan dan diluluskan oleh kabinet negeri, kata Sukarti.

Mengenai isu papan tanda yang menyatakan bahawa tanah itu kepunyaan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Jabatan Ketua Menteri Sabah, Sukarti berkata pemilikan itu adalah pada jawatan, bukan pada individu.

“Ketua menteri selaku ketua kerajaan negeri merupakan pemegang amanah tanah yang menjadi persoalan itu.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menghendaki supaya pemilikan tanah pada papan tanda projek pembangunan seperti itu menyatakan pemilik seperti yang terdapat dalam geran hak milik tanah, justeru, tiada sebarang perkara meragukan tentang projek ini kerana ia dilakukan dengan kelulusan kabinet negeri,” jelas beliau.

Semalam, pemimpin Parti Warisan Sabah mempersoalkan pembabitan ketua menteri dalam projek bangunan tinggi komersial di Ampang Hilir, Kuala Lumpur, yang menyatakan beliau sebagai pemilik tanah.