Kaamatan Tanpa Sempadan Peluang Individu Kreatif Pamer bakat

KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan tahun ini akan memberi cabaran dan peluang besar bagi industri kreatif Sabah untuk menunjukkan kemampuan teknikal dan kreativiti mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Induk Kaamatan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, jawatankuasa itu menyeru bakat kreatif di negeri ini untuk tampil dan bekerjasama dengan jawatankuasa tersebut untuk menjayakan acara tahun ini.

“Sebagai pengerusi jawatankuasa, saya secara peribadi ingin mengundang mereka untuk menyokong jawatankuasa teknikal dan penyiaran kami agar kami dapat memulakan proses mengenal pasti bakat kreatif dan mengembangkan industri ini di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan GRS menyedari perkembangan perlahan industri kreatif di Sabah dan kurangnya peluang bagi individu berbakat untuk maju dalam industri ini di peringkat tempatan.

“Terdapat juga perbezaan yang signifikan antara pemain industri di Semenanjung terhadap pemain industri di Borneo.

“Saya berterima kasih kepada penggiat filem dan penulis, Nadira Ilana kerana telah menyuarakan masalah ini dan saya percaya ia adalah peringatan yang tepat pada masanya untuk menghentikan aliran keluar penduduk Sabah yang kreatif dan berbakat.

“Kerajaan Sabah akan melihat perkara itu dan mengambil langkah untuk memastikan lebih banyak peluang disediakan untuk rakyat kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Merujuk kepada negeri jiran Sarawak, Jeffrey mengatakan sudah tiba masanya Sabah juga membina keupayaan sendiri dalam bidang penyiaran dan industri kreatif.

Katanya, beliau percaya Sabah harus mempunyai stesen televisyen sendiri dan telah menganjurkannya sejak tahun 1980-an.

Beliau percaya sekarang adalah masa palinh tepat kerana rakyat Sabah lebih mampu menghasilkan kandungan mereka sendiri yang lebih sesuai dan dikenali oleh penonton tempatan.

“Orang Sabah adalah orang yang berbakat. Kita memiliki orang-orang berbakat dalam semua bidang termasuk reka bentuk, muzik, penerbitan, seni bina, filem dan video, kerajinan, seni visual, fesyen, TV dan radio, iklan, sastera, permainan komputer, seni pertunjukan.

“Ramai dari mereka telah mencipta nama melalui media lain, terutama media sosial. Namun, sebahagian besar daripada mereka masih belum tampil ke hadapan.

“Saya percaya bahawa dengan peluang yang tepat, industri ini berpotensi menjana kekayaan dan mencipta pekerjaan melalui penjanaan dan eksploitasi harta intelek,” katanya.

Jeffrey berkata, sempena Kaamatan tahun ini, beliau ingin menemui permata tersembunyi dalam kalangan orang Sabah dan menggesa para pemain industri untuk menghubungi jawatankuasa itu secepat mungkin.

“Tahun ini, Kaamatan akan bertaraf antarabangsa. Oleh itu, ia akan menjadi peluang besar bagi Sabah untuk menunjukkan bakat seni kita kepada dunia,” ujarnya.