Justina, Nurul Izza Pemain Rugbi Pertama Labuan Layak ke Sukan SEA Manila

176
Justina Joseph dan Nurul Izza Khalisah Abu Samah.

LABUAN: Justina Joseph dan Nurul Izza Khalisah Abu Samah melakar sejarah kepada Persatuan Ragbi Labuan (LRA) apabila terpilih mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2019 di Manila, November ini.

Menurut laporan Bernama diportalnya, kedua-duanya gembira menjadi pemain ragbi pertama dari Wilayah Persekutuan Labuan mewakili pasukan negara ke sukan dwitahunan itu.

“Ia satu penghargaan kerana dapat mewakili Malaysia dan kami akan memberikan yang terbaik. Harap-harap, kami boleh membuahkan sesuatu untuk negara,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Justina dan Nurul Izza, kedua-duanya berusia 18 tahun, akan menyertai pasukan kebangsaan untuk bermain dalam Ragbi Wanita Asia Tujuh Siri (7s) di China bulan hadapan.

Kedua-duanya, yang kini di bawah penyeliaan bekas pemain Black Hawk dan bekas pemain terbaik Borneo, Abdul Rashid Adlie, pernah mewakili Wilayah Persekutuan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh tahun lepas.

Bekas pelajar SMK Mutiara, Labuan itu melahirkan rasa terima kasih kepada LRA dan jurulatih yang melatih mereka sejak bertahun lamanya.

“Kami amat berterima kasih terhadap sokongan yang diberikan oleh ibu bapa dan LRA, terutama jurulatih kami Rashid yang telah menunjukajar kami dari awal lagi,” kata Justina.

Sementara itu, Rashid mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pemain dan berkata bahawa beliau amat gembira kerana kerja kuat beliau untuk melahirkan pemain muda kini tercapai.

“Saya berharap pertarungan mereka dalam Sukan SEA ini akan memberi motivasi kepada pemain lain dan menarik lebih ramai orang menyertai sukan ini”.