Juruterbang, Pembantu Selamat, Helikopter Sabah Air Terhempas Di Marudi

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sebuah helikopter jenis Bell 206 L3 milik Sabah Air Aviation Sdn. Bhd. (Sabah Air) terhempas di daerah Marudi, Miri petang kelmarin.

Juruterbang dan pembantunya bagaimanapun hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Marudi dan telah dibenarkan keluar pada pukul 11.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintenden, Jo Heng berkata, ketika kejadian, helikopter bernombor pendaftaran 9M AZK itu tidak membawa penumpang.

“Sebelum kejadian, pesawat dikendalikan juruterbang Kapten Mohd. Dom Wahab dan pembantunya, Kapten Muhd. Amirul Asyraf berlepas dari Lapangan Terbang Marudi membawa tiga pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) pada pukul 4.04 petang.

Helikopter itu selamat mendarat di base camp Jupem kira-kira sembilan minit kemudian dan menurunkan ketiga-tiga pegawai itu.

Pesawat itu kemudiannya berlepas meninggalkan kem berkenaan sebelum terhempas kira-kira pukul 5.43 minit petang.

Sementara itu, Sabah Air dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menghantar sebuah pesawat ke Marudi untuk membawa pulang juruterbang dan pembantunya ke Kota Kinabalu untuk pemeriksaan kesihatan lanjut.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan Kementerian Pengangkutan telah dimaklumkan mengenai kejadian itu,” kata Sabah Air.