Junz Wong Mahu Kelonggaran Diberi Kepada Penduduk Pulau Gaya

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada penduduk Pulau Gaya untuk keluar bekerja.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, seharusnya kelonggaran diberi kepada penduduk yang disahkan negatif untuk keluar bekerja mahupun membeli barang keperluan.

Katanya, beliau faham Pulau Gaya masih diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) namun, pertimbangan harus diberikan kepada penduduk yang memang disahkan negatif untuk keluar membeli barang keperluan mahupun keluar menangkap ikan.

Permintaan penduduk ini munasabah kerana tidak semua penduduk menerima bantuan bakul makanan yang begitu terhad.

Atas sebab itu, beliau akan menyuarakan keperluan rakyat di Pulau Gaya ini untuk diberi pertimbangan pergi bekerja dan membeli barang keperluan.

“Saya akan bersama rakyat mendesak dan memberi tekanan kepada kerajaan bagi memberi kelonggaran kepada penduduk di Pulau Gaya ini,” katanya dalam paparan Facebooknya semalam.

Dalam pada itu, Warisan turut menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk Pulau Gaya yang terkesan akibat lanjutan PKPD ini.

Antara bantuan yang diberikan adalah ayam sejuk beku, telur ayam, beras, makanan tin, minyak masak serta keperluan asas lain.

Tambahnya, segala urusan dijalankan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan dan beliau berterima kasih kepada penderma dan penyumbang yang bermurah hati membantu penduduk yang terkesan akibat PKPD di Pulau Gaya.