Junz – Projek Sentuhan Rakyat Tingkat Pendapatan

227

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong memberitahu bahawa kementeriannya akan melaksanakan Projek Premis Burung Walit Sentuhan Rakyat sebagai usaha penjana ekonomi untuk jangka masa yang lama.

Beliau memberitahu pemberita bahawa projek ini akan memberi pulangan berterusan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dengan mudah melalui penternakan burung walit.

Tambahnya, projek berkenaan disasar untuk dilaksanakan di seluruh Sabah dan di kawasan yang sesuai. Pada tahun ini seramai 150 orang golongan sasar akan berpeluang memiliki rumah burung walit.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) akan memantau premis burung walit yang telah dibina sehingga burung bersarang, jelas Datuk Junz.

“Projek burung walit adalah satu bidang yang agak mudah kerana burung akan mencari makan sendiri,” terang Junz.

“Lagi pun, burung walit boleh diintegrasi dengan tanaman kekal seperti getah dan tanaman buah-buahan.” Sambungnya.

Pemohon bagi projek premis burung walit sentuhan rakyat ini, hendaklah terdiri dari warganegara berasal dari Sabah dan berumur 18 tahun ke atas serta dalam golongan B40.

Syarat lain ialah pemohon mesti mempunyai tanah bergeran, atau pun tanah hak adat bumipurera (NCR) dan permohonan tanah (LA) yang diberikan surat pengesahan hakmilik oleh Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).

Di samping itu tapak yang dicadang mesti mempunyai kemudahan jalan raya, letrik dan air yang mana hendaklah disediakan oleh pemohon.

Junz menekankan bahawa kawasan yang dicadang juga perlu termasuk dalam zon padat populasi burung walit untuk menentukan kejayaan projek ini.

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Unit Walit dan Aneka Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.