Junz: Industri Nanas Sabah Akan Terus Dimajukan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KENINGAU: Industri nanas Sabah akan terus berkembang sebaik sahaja program tanaman nanas bersubsidi yang kini sedang giat diusahakan menampakkan hasil dalam tempoh 15 bulan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata, apabila projek kumpulan perintis itu mula mengeluarkan hasil, usaha mempergiatkan tanaman nanas berkualiti tinggi seperti nanas jenis Keningau Diamond (AC12) dan MD2 akan dilakukan.

Beliau berkata, apabila hasilnya sudah dapat dilihat, program tanaman nanas bersubsidi akan dilaksana dalam skala yang lebih besar menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025.

Katanya, langkah meningkatkan hasil pertanian itu seiring dengan Pelan Pembangunan Pertanian Sabah 2021-2030 untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran sektor pertanian negeri.

Dalam program perintis itu, 120 petani dari seluruh Sabah mengikuti program penanaman nanas bersubsidi dengan keluasan minimum ladang tanaman seluas satu hektar.

Untuk memastikan program itu berjaya, petani hanya perlu menanam mengikut teknik dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya keluaran nanas yang dihasikan mengikut saiz dan bentuk yang standard.

Menurutnya, beliau tidak mahu kesilapan dalam tanaman nanas jenis MD2 semasa pelaksanaan program oleh kerajaan terdahulu berulang.

“Jika dahulu ada petani menanam nanas MD2 tidak berjaya kerana ketiadaan pengetahuan tentang cara menanam nanas yang betul.

“Kini, dengan bantuan Penasihat Pertanian Negara Datuk Yap Yun Fook, tanaman kali ini pasti akan mengeluarkan hasil yang memenuhi kehendak pasaran.

‘”Kita akan mengarahkan pegawai kita turun padang bagi meninjau proses tanaman benih nanas di bawah program ini.

“Sekiranya petani berdepan masalah menanam benih dalam tempoh diberikan iaitu tujuh hari, pegawai pertanian perlu memberi mereka masa. Selepas tanaman peringkat pertama selesai, barulah tanaman peringkat seterusnya boleh dimulakan.

”Kita menyediakan 37,000 benih nanas untuk ditanam di kawasan seluas satu hektar,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke Ladang Nanas Keningau Diamond, di Kampung Babason, Sook, baru-baru ini.

Junz berkata, tahun ini adalah tahun untuk melaksanakan segala perancangan yang telah disusun dalam agenda pertanian Sabah menerusi Pelan Pembangunan Pertanian Sabah.

Antara perancangan yang akan dilaksanakan tahun ini adalah pembinaan pusat pengumpulan buah-buahan yang akan diproses menjadi makanan kering.

Ini antara langkah memudahkan petani menghantar hasil pertanian untuk diproses supaya mempunyai nilai tambah yang lebih baik.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Kanan, Jabatan Pertanian Keningau James Sikah berkata, program berbentuk hands on itu dilihat akan membantu petani yang baru hendak menceburi penanaman nanas ini.

Beliau berkata, subsidi penanaman nanas ini diuar-uarkan kepada orang ramai melalui laman web jabatan serta menerusi iklan di akhbar-akhbar tempatan.

“Untuk program lawatan pembelajaran yang diadakan ini, ia membolehkan peserta yang hadir iaitu hampir 300 orang termasuk masyarakat Keningau mempelajari secara hands-on cara-cara penanaman nanas yang betul,” katanya.

Beliau berkata, hanya terdapat lima peserta tanaman nanas bersubsidi yang dipilih dalam program perintis itu.

Menurutnya, terdapat 30 orang petani di Keningau yang terlibat dalam penanaman nanas secara kecil-kecilan.

Tambahnya, diharapkan dengan bantuan dan nasihat daripada Yun Fook itu, lebih ramai masyarakat Keningau yang mempunyai tanah akan menceburi sektor pertanian dengan menanam nanas.