Jumlah Mangsa Di PPS Menurun, Banjir Semakin Surut

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 705 orang pada pukul 8 pagi ini.

Semalam, 505 mangsa daripada 157 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan banjir di kawasan mereka semakin surut.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, Kamal Mokhtar berkata, setakat pagi ini semua PPS di Penampang dan lima PPS di Tenom ditutup.

Beliau berkata, 705 penduduk yang masih ditempatkan di PPS yang masih dibuka terdiri daripada 224 keluarga dari 88 buah kampung di daerah Kota Belud, Papar, Beaufort dan Tenom.

Katanya, secara keseluruhannya sebanyak 11 daerah terjejas banjir di Sabah sejak Sabtu lau.

Daerah lain yang turut terjejas adalah Kota Marudu, Keningau, Pitas, Membakut, Putatan dan Tuaran dan ia melibatkan 17 buah kampung.

Jika dilihat penduduk paling ramai dipindahkan setakat pagi ini adalah di Kota Belud dengan seramai 299 orang daripada 101 buah keluarga.

Empat PPS yang dibuka adalah di Dewan Masyarakat Tun Said; Dewan Muhibbah Kg Tombol; Dewan SRJK Chung Hwa; Dewan SK Pekan Kota Belud.

Sementara itu di Tenom, seramai 230 orang daripada 72 keluarga masih ditempatkan di PPS.

Kesemua mereka dipindahkan ke tiga PPS iaitu di Dewan Seri Panglima Antanom, Rumah Kebudayaan (RK) Batu Batu dan RK Mandalom Lama.

Kemudian diikuti dengan Beaufort dengan seramai 113 orang daripada 31 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan DSP Hj Dun Banir. Sementara di Papar, 63 orang dari 20 buah keluarga ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Papar.