Jumlah Mangsa Banjir Di Sabah Semakin Berkurangan

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Beaufort semakin berkurangan kepada 88 mangsa daripada 22 keluarga yang tinggal di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini berbanding 118 orang daripada 27 keluarga pagi tadi.

Berikutan keadaan banjir di kawasan berkenaan beransur pulih, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan 30 mangsa banjir daripada lima keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. 

“Hanya PPS di Dewan DSP Mohd Dun Banir masih beroperasi dan pihak kami kini sedang memantau situasi banjir di Beaufort bagi memastikan keadaan selamat sebelum membenarkan mangsa banjir pulang ke rumah,” menurut kenyataan itu. 

Banjir yang melanda bermula 20 Mei lepas akibat hujan lebat berterusan itu menjejaskan 47 kampung di Tenom dan 75 kampung di Beaufort.