Jumlah Hotel Sebagai Pusat Kuarantin Mungkin Ditambah

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia akan mempertimbangkan untuk menambah bilangan hotel sebagai pusat kuarantin jika terdapat keperluan untuk membantu golongan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, terdapat 28 pusat kuarantin yang diwartakan di Sabah tetapi mereka yang dikehendaki menjalani kuarantin diri selama 14 hari mempunyai pilihan untuk menginap di Monaco Boutique Hotel dan Oyo Hotel di sini.

Jelasnya, hotel-hotel tersebut telah diwartakan oleh kementerian sebagai pusat kuarantin.

“Walau bagaimanapun, mereka yang memilih untuk membuat kuarantin di hotel yang ditetapkan itu dikehendaki untuk membayar bilik hotel dan makanan sendiri kerana ia tidak seperti pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan yang bebas daripada apa-apa bayaran.

“Saya difahamkan penginapan di hotel agak popular dengan semua bilik ditempah oleh mereka yang pulang dari luar negara,” katanya selepas melawat tujuh pusat kuarantin di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Papar semalam.

Lawatan itu dibuat berikutan aduan berhubung tahap kebersihan dan keadaan di situ.